Tuesday, October 9, 2007

KAJIAN DI KOTA TINGGI

TAJUK: MIGRASI YANG BERLAKU KESAN DARIPADA BANJIR

1.0 PENGENALAN

Banjir ialah keadaan air yang meneggelami atau mengenangi sesuatu kawasan atau tempat yang luas. Banjir merupakan satu geobencana pasif iaitu bencana yang berkaitan dengan aktiviti manusia. Banjir berlaku pada kepantasan sederhana tetapi mempunyai saiz bencana yang besar. Banjir berlaku apabila sesuatu kawasan, selalunya kawasan rendah, ditenggelami dengan air. Banjir yang buruk biasanya akan berlaku apabila air sungai melimpah tebing sungai berkenaan. Banjir berlaku apabila tanah dan tumbuh-tumbuhan tidak dapat menyerap kesemua air. Air itu kemudian mengalir di atas tanah berkenaan. Air ini tidak dapat ditampung oleh aliran sungai atau kolam semulajadi atau disimpan dalam tempat takungan air buatan manusia. Banjir adalah bencana alam yang kerap dialami di seluruh dunia. Oleh itu, ia adalah sukar atau mustahil untuk mendapatkan polisi insurans bagi melindungi barangan serta harta yang rosak akibat banjir.
Johor merupakan negeri yang paling teruk terjejas akibat banjir ini. Batu Pahat, Johor Bahru, Kluang, Kota Tinggi, Mersing, Muar, Pontian dan Segamat telah dilanda banjir. Hubungan ke Kota Tinggi dan Segamat telah terputus terus. Antara sehingga 90,000 orang telah dipindahkan dan bekalan makanan di pusat pemindahan dilaporkan terhad. Sesetengah sekolah turut dibanjiri, namun musim persekolahan 2007 berjalan seperti biasa dan kerajaan Malaysia telah menderma uniform sekolah kepada mereka yang terlibat. Kebanyakan mangsa tidak mendapat air besih dan elektrik. Mengikut Kementerian Kesihatan, kes-kes penyakit yang disebarkan air semakin meningkat. Di sesetengah tempat, kecurian dilaporkan berlaku selepas air telah surut. Melihat kesan banjir yang dialami oleh mangsa-mangsa banjir amat memilukan

Banjir kedua berlaku pada 12 Januari ketika orang ramai mula berpindah balik ke rumah selepas banjir pertama yang lalu. Seramai 109,831 orang dari 24,765 keluarga telah berpindah ke 344 pusat pemindahan banjir yang telah dibuka semula. Banjir kali ini lebih serius dari banjir pertama sehingga terdapat khabar angin ‘darurat’ telah diisytiharkan di Johor, namun ia tidak benar. Dua pusat pemindahan turut dinaiki air dan 1,793 mangsa banjir terpaksa dipindahkan ke tempat lain.





2.0 TUJUAN KAJIAN


Kajian ini dijalankan di dua buah kampung di kawasan Kota Tinggi. Kawasan tersebut ialah Kampung Tembioh dan Kampung Kelantan. Kedua-duanya merupakan antara kawasan yang paling teruk dilanda banjir pada penghujung tahun 2006 dan awal 2007.

Banjir besar yang berlaku di kawasan-kawasan tersebut ternyata meninggalkan banyak kesan dalam pelbagai aspek. Jadi tujuan kajian ini adalah untuk melihat kesan akibat banjir tersebut dengan memberi fokus kepada aspek migrasi di kalangan penduduk di kedua-dua buah kampung.

Kajian yang dijalankan juga bertujuan mendapatkan beberapa maklumat asas daripada penduduk kampung mengenai faktor-faktor yang mendorong mereka menetap di kawasan tersebut serta keadaaan kehidupan mereka selepas banjir berlaku .


3.0 METODOLOGI KAJIAN

3.1 Data Primer

3.1.1 Temubual tak berstuktur
Temubual secara bersemuka dilakukan untuk mengetahui lebih lanjut kesan banjir ke atas pendidikan anak-anak dari perspektif ibubapa. Temubual ini juga dilakukan ke atas anak-anak bagi mengetahui perasaan mereka dan prestasi pembelajaran selepas banjir.

3.1.2 Pemerhatian

Pemerhatian dilakukan sebagai analisis dengan merekod dan mencatit tentang apa yang diperhatikan dengan melihat persekitaran selepas banjir yang melanda di Kampung Kelantan dan Kampung Tembioh.


3.2 Data Sekunder

3.2.1 Kajian Perpustakaan
Kajian ini dilakukan untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut berkaitan dengan definisi dan maklumat-maklumat lain. Di samping itu, sumber dari internet juga diperolehi untuk melengkapkan hasil kajian ini yang berkaitan dengan peristiwa-peristiwa banjir yang berlaku di Kota Tinggi.


4.0 KAWASAN KAJIAN

Daerah Kota Tinggi terletak di Pantai Timur negeri Johor serta 65 peratus daripada daerah ini adalah dikelilingi laut. Daerah Kota Tinggi ini terletaknya Lembangan Sungai Johor dan Lembangan Sungai Sedili. Pusat bandar bagi daerah ini adalah Bandar Kota Tinggi yang sedang pesat membangun. Bandar Kota Tinggi terletak di muara Sungai Johor. Jarak Kota Tinggi adalah sejauh 40 km dari bandaraya Johor Bahru. Kota tinggi mempunyai keluasan daerah sebanyak 3488.7 kilometer persegi luasnya. (Kota Tinggi Wikipedia, 2007)

Aktiviti ekonomi utama daerah ini ialah perladangan seperti kelapa sawit dan pertanian di samping kegiatan lain seperti perikanan yang terdapat di persisiran pantai seperti di Tanjung Sedili. Aktiviti ekonomi yang lain ialah seperti perlombongan dan perniagaan. Daerah Kota Tinggi terdiri daripada kawasan bandar, perkampungan melayu tradisional serta kawasan rancangan tanah Felda. Kawasan kajian yang dipilih ialah di Kampung Tembioh dan Kampung Kelantan di Kota Tinggi, Johor. Kawasan yang dipilih adalah salah satu kawasan perkampungan yang dinaiki air ketika banjir di Kota Tinggi.



5.0 KEPENTINGAN KAJIAN

Kajian mengenai kesan banjir terhadap migrasi penduduk adalah ingin melihat sejauh manakah banjir di Kota Tinggi, telah mempengaruhi penduduk yang telah lama menetap di kawasan tersebut untuk berpindah atau tidak ke kawasan penempatan yang lebih selamat dan tidak di naiki air.


Selain itu kajian juga dilakukan untuk mengetahui sama ada penduduk di Kampung Tembioh dan Kampung Kelantan di Kota Tinggi, Johor bersedia untuk berpindah dan meninggalkan kampung halaman mereka yang didiami sejak sekian lama. Kajian ingin melihat apakah penduduk bersetuju berpindah dengan tawaran penempatan yang disediakan.
keadaan penduduk di Kampung Tembioh dan Kampung Kelantan sama ada merasa selamat serta tenteram apabila hujan lebat turun dan apakah setiap kali musim hujan mereka akan berasa takut serta ingin berpindah segera menyelamatkan diri serta harta benda. Jalan penyelesaian perlu dicari untuk menyelesaikan masalah penduduk Kampung Tembioh dan Kampung Kelantan dari terus diburu oleh perasaan yang tidak tenteram serta bimbang setiap kali sewaktu hari hujan.



6.0 ANALISIS RESPONDEN

6.1 Responden pertama

















Rajah 1.0: Suraya Rajah 1.1: Keadaan rumah sewanya



Suraya (bukan nama sebenar) berumur 23 tahun, beragama Islam dan merupakan suri rumah tangga. Suraya tinggal bersama suami, anak-anak dan ibu mertua. Suami Suraya bekerja sendiri dan mempunyai pendapatan lebih kurang RM 1000 sebulan. Keluarga Suraya menyewa di Kampung Kelantan dan telah menetap selama 3 tahun. Menurutnya, mereka sekeluarga mula menetap di Kampung Kelantan adalah kerana mengikut suaminya yang bekerja di kampung tersebut. Sebelum ini di tempat asal, suaminya bekerja sebagai nelayan dan pendapatan yang diterima tidaklah begitu menggalakkan kerana kos yang terlalu tinggi menyebabkan mereka sekeluarga berhijrah ke Kota Tinggi. Sebelum berlaku banjir besar pada hujung tahun 2006 dan awal 2007 kerugian yang dialami tidaklah begitu besar dan banyak peralatan yang masih lagi boleh diselamatkan tetapi apabila banjir besar berlaku, mereka sekeluarga telah banyak mengalami kerugian dan mendatang kesulitan. Apabila di tanya sama ada ingin berpindah ke tempat lain, Suraya menyatakan tidak mahu berpindah kerana tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menyewa ke tempat lain di samping menyukarkan anak-anaknya untuk mencari sekolah baru. Selain itu, hubungan yang erat antara penduduk yang sentiasa menolong antara satu sama lain menyebabkan Suraya lebih selesa berada di kampung tersebut. Walaupun banjir di kampung tersebut telah banyak menyebabkan kemusnahan tanaman, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk mencari rezeki.

6.2 Responden kedua






















Rajah 2.0 : Mariam Rajah 2.1 : Keadaan Rumah Mariam

Rajah 2.0, penyelidik telah menemuramah Mariam (bukan nama sebenar) berumur 72 tahun, berbangsa melayu dan telah di Kampung Kelantan sejak dilahirkan lagi dan merupakan penduduk tetap. Beliau mempunyai 4 buah rumah sewa yang disewakan kepada orang lain. Menurut beliau, banjir yang berlaku pada akhir Disember 2006 dan awal Januari 2007 merupakan banjir yang paling besar yang pernah dialami olehnya. Apabila hujan mula turut, tergambar di wajahnya kebimbangan petanda banjir besar akan berulang kembali. Apabila ditanya sama ada beliau pernah berhijrah ke kawasan lain beliau menyatakan bahawa beliau tidak pernah kemana-mana kerana lebih selesa dengan persekitaran di Kampung Kelantan. Walaupun banjir kerap kali melanda di kampung tersebut, beliau tetap tidak berubah pendirian. Keadaan beliau yang uzur menyebabkan beliau lebih selesa menghabiskan keringat dan masa di kampung tersebut.

6.3 Responden ketiga


















Rajah 3.0: Fatimah Rajah 3.1: Rumah yang di sewa Fatimah


Rajah 3.0, penyelidik telan menemuramah Fatimah (bukan nama sebenar) berumur 40 tahun, bekerja sebagai operater. Telah menetap di Kampung Kelantan selama 20 tahun tinggal di rumah sewa bersama ibunya yang sudah uzur. Rajah 3.1 menunjukkan keadaan rumah yang di sewa oleh Fatimah yang sudah mencecah 20 tahun. Pada 20 tahun yang lalu beliau telah menetap di kampung seberang sungai Kelantan. Fatimah telah berpindah ke Kampung Kelantan kerana inginkan pekerjaan yang lebih baik untuk menampung kehidupannya, kalau dahulu di kampung seberang Fatimah sukar mendapatkan peluang pekerjaan kerana ketiadaan pekerjaan yang menjamin hidup di kampung tersebut. Fatimah juga terpaksa menaiki bot untuk berulang alik dari rumah ke pekan untuk mendapatkan barang-barang. Oleh itu dia memutuskan untuk ke Kampung Kelantan mendapatkan pekerjaan yang menjamin hidupnya. Fatimah juga turut terlibat dalam bencana banjir yang melanda Johor baru-baru ini. Banyak kemusnahan harta bendanya akibat banjir tersebut. Bagaimanapun dia tidak berpindah keluar kesan daripada banjir tersebut kerana Fatimah telah serasi dengan Kampung Kelantan dan punca rezekinya juga berada di pekan kampung tersebut. Fatimah tidak berpindah keluar kesan daripada banjir juga kerana pihak bank tidak meluluskan permohonan pinjaman yang dipohon oleh Fatimah untuk membeli rumah baru. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk terus menetap menyewa di Kampung Kelantan.




6.4 Responden keempat


























Rajah 4.0: Hashim Rajah 4.1: Keadaan keretanya yang rosak akibat banjir.
























Rajah 4.2: Menanda Masa banjir yang melanda dua kali pada dinding rumahnya. Banjir pertama pada 20 Disember 2006 dan banjir kedua pada 11 Januari 2007.





Rajah 4.0, penyelidik menemuramah Hashim (bukan nama sebenar), berumur 52 tahun, telah menyewa di Kampung Tembioh sudah mencecah 17 tahun. Bekerja sebagi kontraktor, Hashim juga turut menerima kesan akibat banjir yang melanda Kota Tinggi terutamanya di Kampung Tembioh. Semua harta bendanya turut termusnah dalam bencana banjir tersebut, iaitu kerugian harta benda dalam RM 8000. Rajah 4.1 menunjukkan, keadaan keretanya telah meninggalkan kesan lengkuk akibat terbalik dan di langgar oleh perahu penyelamat yang lalu lalang semasa banjir banjir berlaku. Hashim berhasrat untuk berpindah akibat daripada kesan banjir tersebut, walaubagaimanapun Hashim masih sayangkan Kampung Tembioh dan penduduk di kawasan tersebut kerana memandangkan beliau telah lama tinggal di Kampung Tembioh. Beliau telah mendapat bantuan makanan dan kewangan sebanyak RM 2000 akibat bencana tersebut. Menurutnya kesan daripada banjir di Kampung Kelantan juga tiada mendatangkan masalah penyakit berjangkit. Tetapi kaum ibu telah mengalami sedikit trauma akibat banjir tersebut. Pada rajah 4.2, menunjukkan hashim telah menanda masa banjir yang berlaku dua peringkat di rumahnya. Banjir pertama pada 20 Disember 2006 dan banjir kedua pada 11 Januari 2007.



6.5 Responden kelima

















Rajah 5.0: Zainab

Rajah 5.0, penyelidik telah menenuramah Zainab ( bukan nama sebenar), yang bekerja dalam sektor informal iaitu menjual kuih-muih dan nasi lemak sebagai pendapatannya selepas berlaku banjir besar. Yang menariknya responden ini merupakan satu-satunya penduduk yang baru berpindah masuk iaitu berlaku migrasi masuk ke Kampung Tembioh empat bulan yang lalu, iaitu lebih kurang lima bulan selepas banjir besar melanda di Kampung Tembioh. Menurut Zainab beliu berpindah ke Kampung Tembioh kerana mengikut suami bekerja di Kota Tinggi. Rumah yang Zainab duduki sekarang adalah rumah berkos rendah manakala keadaan rumah yang tidak selesa iaitu atapnya bocor dan terdapat dinding yang pecah. Kesan daripada banjir tersebut menyebabkan keadaan rumah menjadi tidak selesa. Zainab telah mengadu kepada tuan punya rumah yang di sewanya tetapi hampa kerana tidak dihiraukan aduannya. Oleh itu, Zainab menyatakan jika banjir besar melanda lagi Kampung Tembioh ini, beliau tidak akan teragak-agak untuk berpindah keluar lagi ke kawasan lain yang lebih selamat.


7.0 HASIL KAJIAN

Daripada soal selidik yang dijalankan ke atas responden di Kampung Tembioh dan Kampung Kelantan, didapati kurang berlakunya migrasi di kalangan penduduk kampung tersebut. Namun begitu, responden yang ditemu bual tidak menafikan bahawa mereka diselubungi kebimbangan setiap kali hujan turun kerana takut kemungkinan berlaku lagi banjir besar.

Hampir keseluruhan penduduk di kawasan tersebut telah menetap di kampung ini untuk satu tempoh yang lama. Ada diantaranya yang telah menetap selama 24 hingga 40 tahun di situ. Ini merupakan salah satu faktor yang menyebabkan penduduk di situ tidak berpindah dari kawasan tersebut. Selain itu, tapak rumah yang didiami setiap penduduk adalah hak milik persendirian yang nilainya amat tinggi bagi mereka yang telah lama menetap di situ. Responden memberi tahu bahawa mereka mungkin akan menimbangkan cadangan untuk berpindah sekiranya kerajaan menawarkan rumah yang berpatutan dan membayar harga yang setimpal ke atas harga tanah yang diduki mereka.

Dari segi bantuan pula, responden memberitahu bahawa tiada masalah berkaitan perkara tersebut. Bantuan makanan dan pakaian yang diterima mencukupi. Wakil-wakil kerajaan dan pihak swasta telah datang melawat mangsa banjir dan menghulurkan bantuan dalam bentuk kewangan dan barangan keperluan. Kerajaan telah meberikan bantuan kewangan sebanyak RM1,100 bagi setiap keluarga yang telibat dalam banjir besar ini.




RUJUKAN

Aidilfitri bin Syahril. 1999. Banjir kilat dan kesannya terhadap kemusnahan sumber:
satu tinjauan di Kuala Lumpur. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Iraman bin Karim. 1981. Migrasi dan kesannya ke atas keadaan sosio-ekonomi penduduk
tempatan: satu kes di Labuan, Sabah. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Utusan Malaysia. 2000. 23 Mac.

http://ms.wikipedia.org/wiki/Banjir_di_Malaysia_2006%20(23 September 2007)

http://web5.bernama.com/events/banjir2007%20(23 September 2007)






































































No comments: